1 – Kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam untuk mengambil aqidah yang sahih. Dan mengambilnya sebagaimana para salafus soleh mengambilnya. Ini kerana tidak akan menjadi baik umat ini, melainkan kembali kepada apa yang menjadikan umat yang terdahulu itu baik. Sentiasa berusaha mempelajari aqidah yang benar dan berupaya membezakan fahaman aliran yang menyimpang. Juga mengambil inisiatif mengkaji pelbagai aliran pemikiran yang menyimpang berserta syubhat-syubhat yang muncul supaya dapat dibantah dan dikawal. Ini adalah kerana sesiapa yang tidak mengenali keburukan, dikhuwatiri dia akan terhumban ke dalamnya.
2 – Memberi perhatian kepada pengajian-pengajian aqidah yang benar sumbernya, iaitu sebagaimana aqidah yang dipegang oleh para salaf soleh (golongan terdahulu yang terbaik), di pelbagai lapangan pendidikan. Memberi ruang pengajian yang baik serta mengadakan pengawalan yang ketat dalam menyediakan sumber-sumber rujukan untuk ini.
3 – Bahan-bahan pengajian berserta kitab-kitab mestilah ditetapkan berdasarkan dari sumber-sumber para ulama salaf yang bersih (dari penyimpangan) sebagai wadah (bahan) pengajian. Manakala kitab-kitab dan sumber-sumber dari kelompok yang menyeleweng haruslah dijauhkan.
4 – Menyebarkan para da’i yang berupaya membersihkan dan memurnikan aqidah umat Islam dengan mengajarkan aqidah para salaf serta menjawab dan menolak seluruh aqidah yang batil dan mungkar.
No comments:
Post a Comment