Thursday, July 16, 2009

Pembahagian Orang Kafir Didalam Islam

(1) Kafir Harbi ialah orang kafir yang tidak diberi jaminan keamanan mahupun hak-hak umum dari Negara Islam serta tidak ada jaminan khusus untuknya. Kafir harbi terdiri dari 2 jenis iaitu kafir harbi fi’lan dan kafir harbi hukman. Harbi fi’lan adalah orang kafir yang sedang memusuhi Negara Islam secara langsung dan sedang memerangi umat Islam manakala kafir harbi hukman pula adalah orang kafir yang tidak ada apa-apa perjanjian dengan Negara Islam dan tidak juga mereka ini berada di dalam kedudukan perang dengan umat Islam. Bagi kafir harbi fi’lan, tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa darah mereka adalah halal. Seorang Muslim bukan sahaja tidak akan dikenakan apa-apa hukuman jika membunuh mereka, malah hukumnya wajib ke atas kaum Muslimin untuk memerangi mereka di mana sahaja mereka berada. Jika dahulu mereka ini adalah golongan kafir Quraish yang kedudukan mereka sentiasa memerangi Daulah Islam Madinah, sekarang ini kedudukan mereka sama seperti tentera-tentera Amerika atau Israel atau British yang sedang memerangi kaum Muslimin. Mana-mana negara kufur boleh bertukar status menjadi harbi fi’lan apabila mereka mengisytiharkan perang ke atas umat Islam.

Adapun kafir harbi hukman, seorang Muslim (serta golongan kafir dzimmi dan mu’ahid) tidak akan dibunuh jika membunuh harbi hukman. Ia hanya dikenakan diyat yang jumlahnya adalah separuh dari diyat pembunuhan ke atas Muslim. Diriwayatkan dari Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Seorang kafir (harbi hukman) separuh diyatnya seorang Muslim”. Ini adalah kerana kita tidak mengumumkan perang ke atas mereka dan di antara kita dengan mereka juga tidak terjadi peperangan secara langsung. Imam Ahmad meriwayatkan dari Ali RadhiAllahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Perhatikan, seorang Mukmin tidak dibunuh kerana membunuh seorang kafir (hukman), demikian pula kafir yang memiliki perjanjian”. Makna dari hadis ini adalah seorang Muslim itu tidak dibunuh jika dia membunuh seorang kafir harbi hukman. Begitu juga keadaannya bagi seorang kafir yang memiliki perjanjian (yakni kafir dzimmi dan kafir mua’hid), mereka juga tidak akan dibunuh jika ia membunuh kafir harbi hukman. Bagaimanapun, wajib ke atas mereka membayar diyat yang jumlahnya separuh dari diyat seorang Muslim.

(2) Kafir mua’hid adalah orang kafir (termasuk sebuah negara) yang mempunyai perjanjian keamanan dengan Daulah Islam. Kafir dzimmi juga termasuk kafir yang mempunyai perjanjian dengan Daulah Islam. Bezanya dengan kafir mua’hid adalah adalah mereka ini (dzimmi) menetap (bertempat tinggal) di dalam Daulah dan tunduk kepada pemerintahan Islam. Mereka membayar jizyah sebagai balasan perlindungan dari Daulah Islam ke atas mereka. Mereka ini adalah warganegara Daulah dan segala undang-undang Islam terpakai ke atas mereka kecuali dalam beberapa perkara yang dikecualikan syara’. Hak mereka adalah sama sebagaimana hak kaum Muslimin warganegara Daulah yang lainnya serta harta, darah dan kehormatan mereka adalah terjaga. Darah mereka haram ke atas kaum Muslimin seperti haramnya darah seorang Muslim. Imam Bukhari meriwatkan dari Abdullah bin Amri dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Barangsiapa yang membunuh kafir mua’hid, maka ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan.”. Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Perhatikan, barangsiapa membunuh kafir mua’hid, maka ia mendapat celaan Allah dan RasulNya. Sungguh aku berlindung dari celaan Allah dan ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan.”

Hadis-hadis di atas menunjukkan keharaman membunuh kafir mua’hid dan dzimmi dan Rasulullah memberi ancaman yang keras ke atas pembunuhan yang dilakukan ke atas golongan tersebut. Imam Baihaqi mengeluarkan hadis dari Abdurrahman al-Bilmani, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah membunuh seorang Muslim yang membunuh kafir mua’hid. Kemudian beliau bersabda, ‘Aku telah memuliakan darah orang yang memohon perlindungan”.

(3) Kafir musta’min adalah kafir yang diberi kemanan oleh Daulah Islam untuk masuk ke dalam Daulah. Mereka bukan warganegara Daulah, tetapi hanya mendapat keizinan untuk masuk dan menetap dalam jangka masa yang dibenarkan oleh Negara. Dalam keadaan sekarang, mereka ini adalah orang kafir yang diberi visa untuk masuk ke dalam Daulah. Dalam situasi ini, darah dan harta mereka adalah terjaga dan undang-undang dalam Daulah Islam adalah terpakai ke atas mereka. Selama mana mereka berada di dalam negara, maka mereka mendapat keamanan sebagaimana halnya dengan kafir dzimmi. Dengan jaminan keamanan ini maka terpeliharalah jiwa, harta dan kehormatannya. Kaum Muslimin haram untuk mencederakannya atau membunuhnya kerana mereka telahpun mendapat hak keamanan dan penjagaan dari Daulah. Ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarlah ia ke tempat yang aman baginya” [TMQ at-Taubah (9):6].

No comments: